Thursday, May 19, 2011

Hadapi Dugaan dengan TAHAJJUD

Saya selalu tertanya-tanya, bagaimanakah para sahabat r.a boleh menjadi sangat tabah menghadapi dugaan hidup yang sangat berat. Sedangkan kita ini, di dalam keadaan negara yang aman damai pun selalu merasa tertekan.
Saya cuba untuk mencari formula menghadapi dugaan hidup dari Al-Quran, dan inilah yang saya temui. Surah Al-Muzzamil ayat 1 - 11, adalah satu formula yang sangat tepat untuk sesiapa yang dilanda cabaran hidup. Ayat ini diturunkan ketika Rasulullah (s.a.w) tertekan dengan ancaman dan cercaan orang-orang kafir. Cubalah baca terjemahan surah ini di bawah:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

  1. Wahai orang yang berselimut!
  2. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat)
  3. Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
  4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil"
  5. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
  6. Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.
  7. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
  8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
  9. Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.
  10. Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.
  11. Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;
Antara pelajaran yang boleh kita dapati ialah:
  1. Solat tahajjud akan memberikan kita kekuatan jiwa untuk menghadapi dugaan. Rasulullah (s.a.w) juga diperintahkan oleh Allah untuk mengerjakan solat tahajjud sebagai persiapan sebelum diberi satu tugas yang sangat berat. Jika kita terasa hidup ini terlalu menekan, dan dada terasa amat terhimpit, segeralah mula untuk mengerjakan solat tahajjud dengan istiqamah. Kita akan mendapat kekuatan jiwa yang membolehkan kita menghadapi segala dugaan tersebut.

  2. Untuk mendapatkan kesannya, Quran hendaklah dibaca dengan tartil semasa solat tahajjud. Dalam perkataan lain, bacalah quran dengan sebaiknya supaya kita merasa "enjoy" dengan solat yang dilakukan. Sekiranya solat dilakukan dengan rasa terpaksa, besar kemungkinan ia tidak akan dapat memberi kita kekuatan yang diperlukan untuk menghadapi dugaan hidup.

  3. Sekiranya kita selalu dicerca atau dikritik sedangkan kita adalah dipihak yang benar, maka hadapilah kritikan tersebut dengan cara yang baik, dan sebutlah nama Allah, atau sebutlah "Ya Allah" dengan lidah mahupun hati sebanyak-banyaknya. Tak perlulah risaukan kata-kata manusia, tapi fokuslah kepada Allah. Apabila kita melakukan seperti ini, maka Allah lah yang akan membalas perbuatan orang-orang yang mencerca anda.
Sesungguhnya Al-Quran adalah sememangnya "manual kehidupan"yang paling hebat. Apa jua keadaan yang dihadapi, tentu ada jawapan bagi setiap persoalan yang kita hadapi. Segala puji bagi Allah. Mudah-mudahan Allah memberi kita kefahaman dan kekuatan untuk menggunakan Al-Quran sebagai manual di dalam kehidupan kita.

No comments:

Post a Comment

join jom